Wednesday, May 13, 2015

5 Sikap Yang Boleh Membuatkan Anda Selalu Poket Kosong

5 Sikap Yang Boleh Membuatkan Anda Selalu Poket Kosong


Wang adalah keperluan, itu adalah benar dan kerana itulah kita perlu sentiasa mempunyai wang untuk melunaskan keperluan-keperluan lain kehidupan; makanan, pakaian, tempat tinggal.  Jika anda selalu kehabisan wang sebelum anda melangsaikan keperluan-keperluan kehidupan anda, mungkin anda tidak sedar yang selama ini anda dibelenggu 5 sikap yang membuatkan anda kehabisan duit lebih cepat dari orang lain.

1. Gopoh
Ya, anda mungkin tidak sedar kegopohan anda untuk menggunakan wang yang ada tanpa berfikir panjang samada wang itu digunakan ke tempat yang betul atau sebaliknya.  Mangsa selalunya akan merasa menyesal sesudah menyedari dirinya kehabisan wang kerana pembelian yang tidak dirancang.  Tetapi, sesal kemudian tidak berguna, kan?

2. Rambang Mata
Sikap ini sangat merbahaya untuk wang anda kerana ini adalah antara punca utama keborosan.  Jika anda merasa ingin membeli semua yang anda tengok di pasaraya, maka bersedialah untuk pokai lagi bulan ini kerana sikap rambang mata anda itu.  Selain dari sukar membuat pilihan antara barang keperluan dan kehendak, jika anda seorang yang rambang mata, anda mungkin sukar juga untuk merasa puas dengan apa yang dimiliki sekaligus menjadikan anda seorang yang tidak kisah menghabiskan duit untuk kepuasan hati.

3. Tak Tetap Pendirian
Belanjawan, menabung, buku kira-kira, senarai barang untuk dibeli, semuanya sudah anda sediakan kerana bulan ini anda tidak mahu poket kosong lagi seperti bulan-bulan sebelumnya.  Tetapi apabila sampai ke pasaraya, belanjawan kemana, senarai barang pun entah terbang menghilang tidak dapat dikesan.  Jika anda tidak tetap pendirian, masalah pokai sukar untuk pergi dari diri anda dan wang pula semestinya semakin sukar untuk melekat dalam poket.

4. Terlalu Bermewah
Mungkin anda memang sudah lama mengidamkan tas tangan Bally, tidak ada masalah jika anda mampu untuk membelinya.  Tetapi jika kewangan anda bukan berada pada tahap optimum lagi, lebih baik anda tangguhkan niat itu dulu jika tidak mahu berhutang dengan orang lain semata-mata ingin memuaskan kemahuan bermewah itu.  Ibarat pepatah, “Ukurlah baju pada badan sendiri”.
5. Tak Kisah
Tak kisah esok makan apa, tak kisah esok nak pergi kerja macam mana. Jika anda ada sikap sebegini, hentikan sekarang.  Sikap tidak ambil pusing tentang masa hadapan bukan sahaja membawa musibah dari segi kewangan tetapi juga kepada kehidupan secara keseluruhan kerana anda mungkin bukan setakat menyusahkan diri sendiri, anda mungkin bakal menyusahkan orang yang rapat dengan anda juga.  Golongan ‘tak kisah’ ini selalunya tidak kisah jika dalam dompet hanya ada RM200 dan membelanjakan semuanya sekaligus kerana mereka tidak mempunyai perancangan rapi tentang kewangan.  Akhirnya wang mereka akan habis dengan pantas tanpa mereka sedari.

No comments:

Post a Comment